Dikemaskini 7:59 AM, 11 Dec, 2017
A+ A A-

Pemuda BERSATU gesa Zaid mohon ampun pada Sultan

Pemuda BERSATU Selangor berkata, pihaknya menghargai usaha Zaid mempertahankan Mahathir, tetapi ia janganlah sampai menyebabkan orang ramai keliru dan mempertikai niat Sultan Sharafuddin yang memberi teguran. Pemuda BERSATU Selangor berkata, pihaknya menghargai usaha Zaid mempertahankan Mahathir, tetapi ia janganlah sampai menyebabkan orang ramai keliru dan mempertikai niat Sultan Sharafuddin yang memberi teguran.

Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Selangor menggesa Datuk Zaid Ibrahim agar memohon maaf kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Ia ekoran kenyataan Zaid di Twitter yang mempersoalkan titah baginda yang mengkritik Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pemuda BERSATU Selangor berkata, pihaknya menghargai usaha Zaid mempertahankan Mahathir, tetapi ia janganlah sampai menyebabkan orang ramai keliru dan mempertikai niat Sultan Sharafuddin yang memberi teguran.

"Ia adalah sesuatu yang tidak patut. Zaid atau mana-mana pemimpin parti politik harus meneliti titah Sultan Selangor dan mengambil iktibar daripadanya.

"Justeru pihak kami memohon Zaid agar segera meminta maaf kepada Sultan Selangor dan menahan diri daripada mengulangninya pada masa depan," kata Pemuda BERSATU Selangor dalam kenyataan hari ini.

Menerusi Twitter semalam, Zaid berkongsi pautan berita baginda yang antara lain sekali lagi mengkritik Mahathir atas kenyataannya yang mengaitkan masyarakat Bugis dengan lanun.

Mengiringi pautan itu, Zaid berkata Sultan Selangor perlu lebih berhati-hati dalam titahnya. Beliau juga mengingatkan baginda mengenai kesan akibat masuk campur dalam politik.

Ekoran itu, Sultan Sharafuddin hari ini mengecam Zaid dengan bertitah bekas menteri itu patut keluar dari Selangor dan pulang ke negeri kelahirannya, Kelantan, jika tidak setuju dengan pandangannya.

Pemuda BERSATU Selangor berpesan agar semua pemimpin politik, terutama Melayu, menunjukkan contoh yang baik serta lebih berhemah ketika bersuara mengenai institusi diraja.

"Institusi diraja wajib dihormati. Jika terdapat pertikaian, ia boleh dibincangkan secara tertib, beradab dan penuh hemah untuk kemaslahatan semua," katanya lagi.

Bercakap kepada Malaysiakini semalam, Zaid berkata beliau hanya mengikut tradisi Islam dalam soal memberikan nasihat kepada pemimpin.

"Khalifah Umar menggalakkan rakyatnya memberikan nasihat. Umar berkata 'jika saya tergelincir daripada jalan yang benar, anda perlu nasihati saya'," kata Zaid.

Ketua Umno Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos semalam membakar keratan kadbod dengan gambar Zaid sebagai tanda protes terhadap kenyataannya, manakala Umno Selangor merancang untuk berhimpun di depan istana Selangor di Shah Alam bagi mendesak tindakan terhadap Zaid.

Dalam pada itu, Pemuda BERSATU Selangor berharap isu kenyataan 'lanun Bugis' oleh Mahathir tidak lagi dipanjangkan memandangkan banyak lagi isu yang berkaitan dengan rakyat yang perlu diberi perhatian.

"Kami berharap isu ini diredakan...agar pihak tidak bertanggungjawab tidak menggunakannya sebagai modal politik dan mengheret baginda Sultan Selangor ke dalam kancah politik kepartian," katanya lagi. 

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.