Dikemaskini 2:15 AM, 17 Nov, 2017
A+ A A-

Dr M dakwa CEO MAS berhenti kerana campur tangan Najib

Dr Mahathir dipercayai merujuk kenyataan Najib ketika pertemuan delegasi Malaysia dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, di Washington DC, pada 13 September lalu. Dr Mahathir dipercayai merujuk kenyataan Najib ketika pertemuan delegasi Malaysia dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, di Washington DC, pada 13 September lalu.

Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mendakwa ketua pegawai eksekutif (CEO) Malaysia Airlines (MAS), Peter Bellew yang bakal melepaskan jawatannya adalah kerana campur tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam urusan syarikat penerbangan negara itu.

“Tak usahlah nak bohong. Bellew berhenti kerana Najib campur tangan dalam urusan MAS tanpa rujuk kepada pengarah dan pengurus syarikat.

“Pesawat yang Najib nak beli, bukanlah pesawat yang diperlukan oleh MAS untuk penerbangan ke destinasi tertentu.

“Saya yakin Najib tidak pun tanya MAS. Najib tidak peduli perancangan CEO atau pemilihan MAS. Biarlah MAS lingkup asalkan Najib dapat ambil gambar dengan Trump,” katanya.

Dr Mahathir dipercayai merujuk kenyataan Najib ketika pertemuan delegasi Malaysia dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, di Washington DC, pada 13 September lalu.

Ketika itu, perdana menteri dilaporkan berkata Malaysia komited untuk membeli 25 pesawat 737-MAX 10, lapan 787 Dreamliners dan ada kebarangkalian besar, bukan kemungkinan, yang MAS akan menambah 24 (atau) 25 lagi 737-MAX 10 dalam masa terdekat.

Menurutnya, dalam masa lima tahun, dengan pembelian tambahan itu, janji niaga itu akan bernilai melebihi AS$10 bilion.

Mengulas lanjut, Mahathir menyindir bahawa jika boleh Najib ingin serah wang tunai sebanyak AS$20 bilion (RM90 bilion) terus kepada Trump.

“Alangkah berkesannya jika dapat gambar Najib serah dua lori wang tunai dollar kepada Trump. Malangnya Trump tak mungkin terima dengan cara ini.

“Tetapi kalau kata nak beli kapal terbang ini lebih diplomatik,” katanya.

Bellew pada sidang media 27 September lalu menyangkal dakwaan Dr Mahathir yang kononnya syarikat penerbangan itu cuba memuaskan hati Najib daripada memberi pertimbangan berdasarkan kepentingan perniagaan.

Menurutnya, MAS telah meninjau untuk menggantikan pelbagai pesawatnya untuk sekian lama, memandangkan pajakan mereka hampir berakhir.

“Apa kata Bellew. Dia cuba hendak tunjuk bahawa ia bersetuju. Kononnya dakwaan saya tidak tepat.

“Tetapi ini tidak kurangkan perasaan malu dan kecewa kerana Najib tidak sedikit endah CEO MAS ini,” katanya.

Bellew pada sidang akhbarnya juga berkata walaupun dirinya sangat menghormati apa yang dilakukan oleh Mahathir pada masa lalu, tetapi bekas perdana menteri itu tidak menyemak apa yang ditulisnya.

Mahathir turut mengulas keputusan Bellew yang menjadi CEO MAS pada Julai 2016 untuk kembali ke Ryanair.

“Apa nak buat. Kononnya perasaan patriotiknya tiba-tiba menyedar dirinya akan pentingnya ia kembali ke Ireland.

“Syabas dan Tahniah kepada Najib. Belilah kapal terbang untuk perhiasan negara,” katanya lagi.

Bellew akan menjadi CEO syarikat penerbangan Ireland berkuatkuasa 1 Disember.

Beliau menggantikan Cristoph Mueller sebagai CEO, yang berkhidmat kurang daripada tempoh setahun.

Mueller menyertai MAS sebagai CEO pada Mei 2015 tetapi berhenti secara mengejut pada Jun tahun lalu. -Malaysiakini 

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.