Dikemaskini 7:54 AM, 20 Oct, 2017
A+ A A-

PM: Kerajaan tak pernah dera negeri pembangkang

Katanya sebagai perdana menteri dan ketua kerajaan, beliau tidak boleh menyimpan dendam walaupun BN gagal memerintah negeri-negeri berkenaan. Katanya sebagai perdana menteri dan ketua kerajaan, beliau tidak boleh menyimpan dendam walaupun BN gagal memerintah negeri-negeri berkenaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan persekutuan pimpinan Barisan Nasional (BN) tidak pernah “mendera” negeri-negeri yang ditadbir pembangkang, terutama Kelantan.

Katanya sebagai perdana menteri dan ketua kerajaan, beliau tidak boleh menyimpan dendam walaupun BN gagal memerintah negeri-negeri berkenaan.

"Sebagai pemimpin saya perlu berlaku adil kepada rakyat sama ada mereka menyokong BN ataupun tidak.

"Sekurang-kurangnya walaupun tak dapat undi, saya dapat pahala di akhirat. Semoga dengan usaha ini kita dapat majukan negara kita," katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Masyarakat Jeli dan perasmian bangunan tambahan Hospital Jeli, di Jeli hari ini.

Hadir sama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed yang juga Anggota Parlimen Jeli, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan Yahaya Mamat.

Dalam pada itu, Najib berkata Malaysia terus menyediakan perkhidmatan kesihatan antara yang terbaik di dunia dengan peruntukan subsidi yang tinggi setiap tahun.

"Tahun ini kita belanjakan RM22 bilion (untuk penjagaan kesihatan awam) tapi kita hanya kutip RM700 juta sahaja (setakat ini)... satu peruntukan subsidi yang besar.

"Umpamanya, kita hanya bayar RM1 untuk dapatkan pelbagai jenis ubat-ubatan, manakala RM5 dikenakan untuk berjumpa doktor pakar dan caj RM50 jika bersalin di hospital kerajaan,” katanya.

Beliau berkata rakyat Kelantan akan terus mendapat perkhidmatan kesihatan yang terbaik apabila Hospital Bachok dan Hospital Kuala Krai siap dalam masa terdekat, sekali gus menjadikan kesemua 10 jajahan di negeri itu mempunyai hospital masing-masing.

Sementara itu, bangunan tambahan baharu di Hospital Jeli yang bernilai RM57 juta tersebut membolehkan hospital berkenaan menyediakan kemudahan kesihatan yang lebih baik, moden dan lengkap kepada 47,000 penduduk di jajahan berkenaan.

Bangunan tambahan itu yang siap dibina tahun lepas menyediakan tambahan 56 katil menjadikan jumlah keseluruhan katil di Hospital Jeli sebanyak 80 katil.

Perkhidmatan lain yang termasuk tambahan dua lagi wad menjadikan empat wad keseluruhan, dua dewan bedah, kemudahan rawatan dan diagnostik, unit patologi dan tabung darah, unit sokongan steril pusat, rekod perubatan yang lengkap dengan kemudahan teknologi maklumat selain pertambahan 80 lot tempat letak kenderaan untuk kemudahan orang ramai. -Bernama

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.