Dikemaskini 9:07 AM, 19 Aug, 2017
A+ A A-

Samanlah DOJ Rosmah, kata Dr Mahathir

Peguam Rosmah sebelum ini memberi amaran kepada pengguna media sosial bahawa mereka akan disaman jika memfitnah isteri Datuk Seri Najib Razak itu. Peguam Rosmah sebelum ini memberi amaran kepada pengguna media sosial bahawa mereka akan disaman jika memfitnah isteri Datuk Seri Najib Razak itu.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan agar isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor supaya mengambil tindakan undang-undang terhadap Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat sekiranya merasakan dirinya difitnah.

Mantan perdana menteri itu turut mempersoalkan Rosmah yang masih belum mengambil sebarang tindakan undang-undang.

“Saya dengar Rosmah akan menyaman sesiapa yang menuduh dirinya dengan berlian yang disebut oleh DOJ itu.

“Kenapa dia tak cabar Jabatan Keadilan Amerika Syarikat itu?

“Di Malaysia dari dulu kita dgr cerita berlian RM25 juta itu. Sampai sekarang ini semua orang percaya itu benar. Kalau tak benar tunjuklah macam mana tak benar.

“Kalau ada patut bagi baliklah diamond (berlian) itu...,” kata Dr Mahathir melalui rakaman video yang dimuat naik ke laman Facebooknya.

Peguam Rosmah sebelum ini memberi amaran kepada pengguna media sosial bahawa mereka akan disaman jika memfitnah isteri Datuk Seri Najib Razak itu.

DOJ memfailkan saman pada Khamis lalu, yang berkata isteri "Malaysian Official 1" menerima berlian bernilai AS$ 22 juta daripada individu berkaitan 1MDB, Jho Low, yang didakwa membelinya menggunakan dana yang diselewengkan.

Menurut pemfailan DOJ, Low membeli kira-kira AS$ 30 juta nilai barangan kemas untuk isteri MO1 dengan dana yang dicuri daripada 1MDB.

DOJ tidak mendedahkan identiti MO1 kecuali mengatakan beliau mempunyai pertalian dengan anak Rosmah, Riza Aziz, tetapi Menteri di Pejabat Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan tahun lalu mengesahkan bahawa MO1 adalah Najib.

Low berkata pemfailan itu adalah tidak berasas manakala Najib menafikan sebarang salah laku.

"Rosmah kata dia mahu saman pemfitnah tapi saya tidak takut kerana ini bukan fitnah. Saya berani kerana saya bercakap benar.

"Saman kami jika dia berani. Saya bersedia," kata Dr Mahathir.

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.