Dikemaskini 3:27 AM, 23 Oct, 2017
A+ A A-

Thailand-M'sia guna MLAT siasat syarikat disyaki terbabit jenayah

Keputusan untuk menggunakan saluran rasmi itu diambil susulan pertemuan pegawai tinggi pihak penguat kuasa kedua-dua negara di Kuala Lumpur dari 25 hingga 27 Julai lalu. Keputusan untuk menggunakan saluran rasmi itu diambil susulan pertemuan pegawai tinggi pihak penguat kuasa kedua-dua negara di Kuala Lumpur dari 25 hingga 27 Julai lalu.

Pihak berkuasa Malaysia dan Thailand bersetuju agar semua permohonan untuk mendapatkan “bukti dan maklumat” mengenai sebuah syarikat Malaysia yang disyaki menjalankan sindiket jenayah transnasional di Thailand, akan dibuat menerusi perjanjian bantuan perundangan bersama (MLAT).

Keputusan untuk menggunakan saluran rasmi itu diambil susulan pertemuan pegawai tinggi pihak penguat kuasa kedua-dua negara di Kuala Lumpur dari 25 hingga 27 Julai lalu.

“Pegawai Malaysia menyokong siasatan kami (terhadap syarikat itu) dan bersedia membantu kami,” kata sumber berpangkat tinggi dalam agensi penguatkuasaan Thailand kepada Bernama ketika ditanya mengenai perkembangan berhubung pertemuan mereka dengan rakan seagensi dari Malaysia baru-baru ini.

Pertemuan di Kuala Lumpur itu katanya berlangsung dalam suasana mesra dengan pihak Thailand memohon “bukti dan maklumat” khusus berhubung dakwaan terhadap sebuah syarikat Malaysia di negara ini.

Sumber berpangkat tinggi itu bagaimanapun enggan mendedahkan ‘bukti dan maklumat” khusus yang dipohon daripada pihak berkuasa Malaysia namun menyatakan ia penting kepada hasil siasatan mereka terhadap syarikat tersebut.

Pertemuan bulan lepas itu juga memberi isyarat akan komitmen dan keperluan pihak berkuasa Thailand untuk menyelesaikan siasatan lebih setahun terhadap syarikat yang didakwa menjalankan perniagaan yang mencurigakan di negara itu, pada kadar segera.

Syarikat berpangkalan di Pulau Pinang yang mempunyai kepentingan dalam pelbagai perniagaan di negara ini terutama di bandar Hatyai dan Danok itu, turut dipantau oleh pihak berkuasa Malaysia baru-baru ini kerana menjalankan skim kewangan yang boleh dipersoalkan.

Dalam pertemuan itu, delegasi Thailand diwakili pegawai daripada Pejabat Anti Pengubahan Wang Haram (AMLO), Jabatan Siasatan Khas (DSI), Biro Pencegahan Narkotik (NSB) dan Pejabat Lembaga Kawalan Narkotik (ONCB).

Menurut sumber itu Pejabat Peguam Negara Thailand akan menjadi agensi utama dalam berurusan dengan Malaysia berhubung permohonan mendapatkan “bukti dan maklumat” tentang syarikat tersebut.

Beliau juga berkata buat masa ini mereka tidak mempunyai rancangan untuk mengadakan pertemuan tambahan dengan Malaysia selepas mesyuarat bulan lepas.

Sumber itu juga menjangka AMLO menjadi agensi penguatkuasaan pertama yang memfailkan pertuduhan rasmi berhubung pengubahan wang haram terhadap syarikat terbabit selepas siasatan mereka selesai kelak.

Bernama juga difahamkan NSB dan ONCB menyiasat dakwaan mengenai kaitan syarikat itu dengan perdagangan dadah rentas sempadan susulan penangkapan seorang rakyat Malaysia yang juga anggota sindiket dadah.

Lelaki itu ditangkap di pusat pemeriksaan di sempadan Sadao tahun lepas bersama beratus kilogram dadah jenis metamfetamina.

Beberapa bulan lepas pihak berkuasa Malaysia menyerbu premis syarikat itu yang terletak di seluruh negara serta membekukan 91 akaun bank yang dikaitkan dengan syarikat dengan dana keseluruhan berjumlah RM177 juta. - Bernama

 

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.