Dikemaskini 3:27 AM, 23 Oct, 2017
A+ A A-

SPRM tahan 'Datuk' disyaki palsu S&P beli unit kondo

Sumber SPRM berkata turut ditahan seorang wanita berusia 39 tahun yang merupakan ketua Bahagian Jualan dan Pemasaran sebuah syarikat pemaju perumahan. Sumber SPRM berkata turut ditahan seorang wanita berusia 39 tahun yang merupakan ketua Bahagian Jualan dan Pemasaran sebuah syarikat pemaju perumahan.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua individu termasuk pengarah urusan syarikat bergelar 'Datuk' semalam kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pemalsuan perjanjian jual beli (S&P) unit-unit sebuah projek kondominium di Pulau Pinang.

Sumber SPRM berkata turut ditahan seorang wanita berusia 39 tahun yang merupakan ketua Bahagian Jualan dan Pemasaran sebuah syarikat pemaju perumahan.

"Suspek lelaki berusia 47 tahun itu yang merupakan pengarah urusan syarikat berkenaan ditahan pada pukul 6 petang di pejabat SPRM Pulau Pinang manakala wanita berkenaan ditahan pada pukul 6.50 petang," katanya.

Menurutnya, kedua-duanya dipercayai terlibat dalam kegiatan pemalsuan perjanjian S&P menggunakan lebih 20 penama sebagai pembeli kuota Bumiputera bagi pembelian unit-unit kondominium di Batu Feringghi.

Katanya siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai telah membayar sejumlah wang kepada seorang individu yang bertindak sebagai 'ejen' bagi mendapatkan salinan kad pengenalan daripada mana-mana orang yang kononnya sebagai pembeli Bumiputera bagi projek perumahan tersebut.

Beliau berkata, 'ejen' tersebut akan dibayar kira-kira RM3,000 untuk setiap kad pengenalan yang dipergunakan.

Katanya pemalsuan itu bertujuan untuk mengurangkan jumlah sumbangan pelepasan kuota Bumiputera yang perlu dibayar oleh pemaju kepada kerajaan negeri Pulau Pinang.

"Sehingga kini seramai 20 saksi telah dirakamkan kenyataan bagi membantu siasatan," katanya.

Beliau berkata kedua-dua suspek direman selama empat hari bermula hari ini sehingga Selasa depan bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata pihak SPRM sedang mengenal pasti sekiranya terdapat suspek lain yang turut terlibat dalam kegiatan tersebut.

Azam berkata pasukan penyiasat sedang menyiasat sama ada berlaku penyelewengan atau penipuan dalam proses penjualan rumah yang kononnya dijual kepada pembeli Bumiputera.

"Kita (SPRM) akan bekerjasama dengan kerajaan Negeri Pulau Pinang kerana berkemungkinan kerajaan negeri turut ditipu di dalam hal ini," katanya. - Bernama

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.