Dikemaskini 7:59 AM, 11 Dec, 2017
A+ A A-

Melayu masih Umno bukan ‘Melayu mudah lupa’, kata Najib

Najib berkata ungkapan “Melayu mudah lupa” tidak terpakai kepada ahli Umno yang masih dalam parti itu. Najib berkata ungkapan “Melayu mudah lupa” tidak terpakai kepada ahli Umno yang masih dalam parti itu.

Datuk Seri Najib Razak hari ini sekali lagi menghalakan senjatanya terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad, kali ini dengan berkata puisi “Melayu mudah lupa” yang diungkapkan bekas presiden Umno itu sebenarnya merujuk kepada dirinya sendiri kerana meninggalkan Umno untuk bekerjasama dengan pembangkang.

“Dulu, di pentas ini juga beliau mengingatkan kita bahawa, Melayu mudah lupa, namun pada kita, orang ini sudah melampaui batas apabila tergamak bersubahat dan bersekutu, dengan musuh politik dan musuh prinsip beliau selama puluhan tahun yang lalu,” kata Najib dalam ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Umno ke-71 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Najib berkata kerjasama Dr Mahathir dalam Pakatan Harapan hanya bertujuan memenuhkan “tembolok peribadi” beliau semata-mata.

“Sememangnya, pepatah lama sudah menyebut, mana mungkin minyak dan air bersatu.”

Najib berkata ungkapan “Melayu mudah lupa” tidak terpakai kepada ahli Umno yang masih dalam parti itu.

“Insha Allah tidak sesekali menjadi Melayu yang mudah lupa seperti mereka!” kata Najib di hadapan hampir 6,000 perwakilan dari 191 bahagian Umno seluruh negara.

Najib turut menyerang DAP, yang disifatkannya parti dikuasai “dinasti anak beranak”, merujuk kepada keluarga pemimpin veteran, Lim Kit Siang.

“Di mana ‘demokrasi’ yang dimomok-momokkan? Ternyata sekadar pada nama saja. Hatta dalam pemilihan semula CEC DAP, hanya 54% sahaja yang hadir.

“Ini tak masuk lagi cerita ‘parti Bunga Raya’ atau istilah dulu-dulu, Kembang Sepatu, yang diterajui bekas pucuk pimpinan Umno dan seorang bekas negarawan,” katanya merujuk PPBM yang dipimpin Dr Mahathir dan bekas timbalan presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Mudah kata, kalau nak menguruskan hal ehwal mesyuarat pun gagal, lagu mana nak uruskan negara? soalnya, dipercayai merujuk beberapa isu dihadapi PPBM dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia.

Menurut Najib, PPBM hanya menjadi perkakas kepada DAP.

“Katanya ingin berjuang untuk orang-orang Melayu dan Islam, tetapi berpakat dan sedang dijadikan ‘perkakas’ oleh DAP yang terang-terang anti-Melayu dan Islam.

“Sebagai tercatat dalam perlembagaan DAP, langsung tidak menyebut, Islam sebagai agama Persekutuan, bahkan matlamat mereka mahu menjadikan negara ini sekular sepenuhnya.”

Najib menyifatkan DAP yang menguasai Pulau Pinang sebagai tidak menghargai bantuan diberikan kerajaan persekutuan.

“Sewaktu saya umumkan peruntukan menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, ketua menterinya sungguh berterima kasih kepada kita,” katanya merujuk Lim Guan Eng.

“Tetapi, apabila tiba waktu undi untuk meluluskan Bajet 2018, ahli Parlimen pakatan pembangkang yang diketuai oleh DAP, telah menolak Bajet 2018,” kata Najib.

Najib berkata ketika banjir besar di Pulau Pinang baru-baru ini, Guan Eng “merayu sehingga hampir menangis” ketika menelefon Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memohon bantuan.

Tetapi, kata Najib, apabila beliau dan Zahid melawat Pulau Pinang, Guan Eng menuduh kerajaan persekutuan tidak memberi bantuan semasa banjir.

“Inilah sekali lagi, pembohongan dan penipuan, inilah juga manifestasi perangai buruk DAP.

“Sepertimana disebut pepatah Melayu lama, dengan ikhlas ‘susu yang kita hulurkan, tuba pula jadi balasan,” kata Najib lagi. -FMT

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.