Dikemaskini 7:59 AM, 11 Dec, 2017
A+ A A-

Najib: GST roda bulat, SST roda petak

Analoginya menukar GST dengan SST ini samalah seperti menggantikan roda bulat dengan roda berbentuk petak zaman dahulu kala. Analoginya menukar GST dengan SST ini samalah seperti menggantikan roda bulat dengan roda berbentuk petak zaman dahulu kala.

Akhirnya Tun Mahathir Mohamad bersetuju dengan kerajaan bahawa cukai barangan dan perkhidmatan (GST) menampung kekurangan hasil minyak sebanyak RM40 bilion.

Namun kerana beliau keterlanjuran kata menjanjikan pemansuhan GST, beliau sekarang ini mahu menggantikan GST dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST), sebuah sistem lapuk dan tersembunyi yang telah ditamatkan oleh 160 buah negara di dunia.

Analoginya menukar GST dengan SST ini samalah seperti menggantikan roda bulat dengan roda berbentuk petak zaman dahulu kala.

GST diperkenalkan kerana ia lebih moden, telus, mempunyai perundangan yang lengkap bagi mengelakkan penipuan dan diguna pakai oleh 160 buah negara di dunia.

GST mempunyai cara perhitungan dan piawaian yang konsisten, diiktiraf di peringkat antarabangsa.

SST yang mahu diguna pakai Mahathir mempunyai masalah percukaian bertindih dan juga perhitungan berganda dalam pengiraan nilai produk serta mempunyai masalah ketirisan akibat manipulasi pemborong dan penjual.

Pengenalan sistem SST ini bukan sahaja terkebelakang, malah akan membebankan rakyat secara tersembunyi.

Mahathir tahu akan perkara ini dan pernah memperakui GST lebih baik daripada SST. Hal ini kerana pentadbiran beliau sendirilah yang mengesyorkan kita menaik taraf kepada sistem GST.

Sekali lagi Tun melakukan pusingan u.

Pendek kata dari segi perbandingan sistem, GST adalah sistem yang moden dan lebih sistematik daripada SST.

Namun bagi mengemis undi, Mahathir ingin menampakkan seolah-olah pembangkang akan menghapuskan GST tetapi sebaliknya akan menggantikan dengan SST di mana kadarnya tidak dimaklumkan kepada pembeli.

Bukankah ini satu pembohongan?

Bawah sistem SST, tidak perlu untuk penjual maklum jumlah cukai dalam resit.

Jadi mereka boleh mengenakan cukai pada kadar yang tidak boleh dikawal penguat kuasa, dan rakyat juga tidak sedar mereka masih dicukai walaupun diberitahu GST dimansuhkan.

Tidak dengan GST di mana penjual perlu secara telus menyatakan jumlah kadarnya yakni 6 peratus.

Saya mahu pembangkang jika ikhlas mahu menghapuskan cukai barangan, jangan tipu rakyat dengan katanya kononnya akan menggantikan dengan cukai SST yang tersembunyi dan lapuk ini.

Mansuhkan sahaja cukai barangan dan nyatakan di mana mereka mahu menampung kekurangan hasil minyak sebanyak RM40 bilion setahun.

Usahlah perdayakan rakyat.

DATUK SERI NAJIB RAZAK adalah perdana menteri Malaysia.

Artikel ini dimuatkan kali pertama dalam blognya dengan tajuk asal “Ucapan perdana menteri mengenai Tun Mahathir dan SST”. Ia adalah pandangan peribadi Najib dan kerajaan serta tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi SmasaNews.

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.